Tuesday, August 17, 2010

Ramadhan manifestasi keimanan


Puasa adalah ibadah yang unik. Berbanding ibadah lain, puasa mempunyai similariti paling hampir dengan keimanan.

Siapa yang boleh melihat puasa?

Tiada. Kalau kita tak puasa, tak ada siapa yang tahu. Sebab puasa tak boleh nampak.

Itulah dia keimanan.

Tidak terlihat.

Maka siapakah yang memandang Ramadhan ini sebagai latihannya memperkasakan perkara ‘lutsinar’ di dalam dirinya?


Pengkhususan Allah terhadap Puasa.

Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang artinya) : Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan yaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” Hadith Riwayat Muslim.

Setiap amalan lain selain puasa kita mendapat ganjaran 10 – 700 kali lipat. Itulah ketetapan Allah SWT. Namun untuk amalan puasa, Allah tidak menyatakannya. Berapa kali lipat, berapa kali ganda, Allah tidak memberitahukannya. Hal ini kerana, puasa Allah khaskan untukNya, dan Dia ada perkiraan istimewa untuk puasa.

Memandang semula keistimewaan ini, menambahkan betapa pentingnya puasa sebagai wadah peningkatan diri kita sebagai hamba Allah SWT.

Hal ini kerana, untuk menjadi hamba Allah SWT, kita perlu beriman kepadaNya.

Dan puasa, melatih kita menjaga keimanan kita.

Tiada siapa tahu

Iman adalah rahsia. Tiada siapa tahu iman kita bagaimana. Kadangkala, kita sendiri tidak pasti keimanan kita di peringkat mana. Manusia hanya boleh menilai secara zahir. Ramai sahaja orang pergi solat di masjid, membaca Al-Quran, beribadah itu ini, tetapi di dalam jiwanya dia tidak terikat dengan Allah SWT. Dia masih ragu-ragu dengan hukum Allah SWT. Dia tidak menjadikan Allah SWT sebagai matlamatnya.

Namun kita tidak tahu.

Hatta Saidina Umar RA sendiri tidak tahu siapakah munafik dari kalangan pegawainya. Hingga dia bertanya kepada pemegang rahsia Rasulullah SAW: Hudzaifah Al-Yamani yang mengetahui siapakah orang yang munafik yang berada di kalangan pegawainya. Itupun Hudzaifah Al-Yamani tidak mendedahkannya.

Iman itu unik.

Tiada siapa mampu menilai iman, kecuali Allah SWT.

Maka puasa adalah latihan terbaik dalam menjaga keimanan. Sebagaimana kita menjaga puasa kita dari terbatal, begitulah kita berusaha menjaga keimanan kita dari terbatal. Kita berusaha mencari ilmu pengetahuan untuk mengetahui sah batal puasa.

Tetapi pernahkah kita berusaha untuk mencari akan perkara yang membatalkan keimanan kita?

Sebulan ini adalah tarbiyah

Hendaklah kembali kita melihat betapa sebulan Ramadhan adalah merupakan tarbiyah dan didikan hakikatnya. Bukan semata-mata bulan untuk mendapatkan ganjaran.

Pahala akan terbasmi dengan kemungkaran yang kita lakukan. Maka sepatutnya kita memandang Ramadhan dari satu aspek lain. Aspek mempertingkatkan ‘kelasakan’ kita dalam menjadi hamba Allah SWT.

Tegar melawan nafsu, tegas menjaga iman, tangkas melaksanakan amal.

Ini semua adalah perkara yang perlu kita lihat.

Kita hamba Allah untuk 365 ¼ hari penuh dalam setahun. Bukannya hanya 29@30 hari sahaja.

Maka untuk apa sebulan Ramadhan penuh galakan dan suasana solehah ini Allah sediakan?

Untuk meningkatkan diri.

Saya ulang – untuk meningkatkan diri.

Penutup: Kepada yang melihat dan meneliti, maka dia akan mencapai kejayaan hakiki

Ummat Islam lemah kerana tidak melihat dan meneliti.

Kebanyakan kita hanya mengambil Islam sebagai adat dan tradisi. Begitulah juga Ramadhan kita layani.

Inilah dia apabila kita tidak melihat dengan pandangan yang hakiki.

Maka marilah kita duduk sebentar dan melihat kembali.

Apakah sepatutnya kita lakukan untuk menjadi hamba Allah yang sejati.

sumber : klik di sini

.::Semoga Hikmah Disebaliknya::.