Sunday, August 22, 2010

Kelebihan mendirikan Qiamullail


1. Daripada Abu Hurairah : Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang suatu amalan yang membolehkan aku masuk Syurga lalu nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya engkau akan masuk Syurga dengan selamat – Dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Hakim dan Ibnu Habban dengan sanad sohih

2. Daripada Abdullah bin Salam katanya bahawa nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Wahai sekalian manusia! Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, jalinkanlah silaturrahim dan bangunlah untuk dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya kamu akan masuk Syurga dengan selamat – Dikeluarkan oleh Tarmizi, Ahmad, Hakim, Darimi, Ibnu Majah dan Ibnu Saad dengan sanad sohih

3. Daripada Abu Hurairah katanya bahawa nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Puasa yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah Muharram dan sembahyang sunat yang paling afdhal selepas solat fardhu ialah solat pada waktu malam – Dikeluarkan oleh Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasaie, Ibnu Khuzaimah, Ahmad, Darimi, dan Baihaqi dengan sanad sohih

4. Daripada Abdullah ibnu Umar katanya bahawa nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Wahai Abdullah ibnu Umar! Janganlah engkau menjadi seperti si Pulan di mana dia bangun pada waktu malam tetapi dia tidak melakukan ibadat qiamullail – Dikeluarkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Ahmad dengan sanad sohih

Rujukan :

1. Abi Abdullah Muhammad bin Nasir al-Mirwazi, Mukhtasor Qiamullail, diringkaskan oleh Ahmad bin Ali al-Maqrizi, Maktabah al-Manar, cet. pertama 1993


sumber: al baqriah


.::Semoga Hikmah Disebaliknya::.

Tuesday, August 17, 2010

Ramadhan manifestasi keimanan


Puasa adalah ibadah yang unik. Berbanding ibadah lain, puasa mempunyai similariti paling hampir dengan keimanan.

Siapa yang boleh melihat puasa?

Tiada. Kalau kita tak puasa, tak ada siapa yang tahu. Sebab puasa tak boleh nampak.

Itulah dia keimanan.

Tidak terlihat.

Maka siapakah yang memandang Ramadhan ini sebagai latihannya memperkasakan perkara ‘lutsinar’ di dalam dirinya?


Pengkhususan Allah terhadap Puasa.

Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang artinya) : Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan yaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” Hadith Riwayat Muslim.

Setiap amalan lain selain puasa kita mendapat ganjaran 10 – 700 kali lipat. Itulah ketetapan Allah SWT. Namun untuk amalan puasa, Allah tidak menyatakannya. Berapa kali lipat, berapa kali ganda, Allah tidak memberitahukannya. Hal ini kerana, puasa Allah khaskan untukNya, dan Dia ada perkiraan istimewa untuk puasa.

Memandang semula keistimewaan ini, menambahkan betapa pentingnya puasa sebagai wadah peningkatan diri kita sebagai hamba Allah SWT.

Hal ini kerana, untuk menjadi hamba Allah SWT, kita perlu beriman kepadaNya.

Dan puasa, melatih kita menjaga keimanan kita.

Tiada siapa tahu

Iman adalah rahsia. Tiada siapa tahu iman kita bagaimana. Kadangkala, kita sendiri tidak pasti keimanan kita di peringkat mana. Manusia hanya boleh menilai secara zahir. Ramai sahaja orang pergi solat di masjid, membaca Al-Quran, beribadah itu ini, tetapi di dalam jiwanya dia tidak terikat dengan Allah SWT. Dia masih ragu-ragu dengan hukum Allah SWT. Dia tidak menjadikan Allah SWT sebagai matlamatnya.

Namun kita tidak tahu.

Hatta Saidina Umar RA sendiri tidak tahu siapakah munafik dari kalangan pegawainya. Hingga dia bertanya kepada pemegang rahsia Rasulullah SAW: Hudzaifah Al-Yamani yang mengetahui siapakah orang yang munafik yang berada di kalangan pegawainya. Itupun Hudzaifah Al-Yamani tidak mendedahkannya.

Iman itu unik.

Tiada siapa mampu menilai iman, kecuali Allah SWT.

Maka puasa adalah latihan terbaik dalam menjaga keimanan. Sebagaimana kita menjaga puasa kita dari terbatal, begitulah kita berusaha menjaga keimanan kita dari terbatal. Kita berusaha mencari ilmu pengetahuan untuk mengetahui sah batal puasa.

Tetapi pernahkah kita berusaha untuk mencari akan perkara yang membatalkan keimanan kita?

Sebulan ini adalah tarbiyah

Hendaklah kembali kita melihat betapa sebulan Ramadhan adalah merupakan tarbiyah dan didikan hakikatnya. Bukan semata-mata bulan untuk mendapatkan ganjaran.

Pahala akan terbasmi dengan kemungkaran yang kita lakukan. Maka sepatutnya kita memandang Ramadhan dari satu aspek lain. Aspek mempertingkatkan ‘kelasakan’ kita dalam menjadi hamba Allah SWT.

Tegar melawan nafsu, tegas menjaga iman, tangkas melaksanakan amal.

Ini semua adalah perkara yang perlu kita lihat.

Kita hamba Allah untuk 365 ¼ hari penuh dalam setahun. Bukannya hanya 29@30 hari sahaja.

Maka untuk apa sebulan Ramadhan penuh galakan dan suasana solehah ini Allah sediakan?

Untuk meningkatkan diri.

Saya ulang – untuk meningkatkan diri.

Penutup: Kepada yang melihat dan meneliti, maka dia akan mencapai kejayaan hakiki

Ummat Islam lemah kerana tidak melihat dan meneliti.

Kebanyakan kita hanya mengambil Islam sebagai adat dan tradisi. Begitulah juga Ramadhan kita layani.

Inilah dia apabila kita tidak melihat dengan pandangan yang hakiki.

Maka marilah kita duduk sebentar dan melihat kembali.

Apakah sepatutnya kita lakukan untuk menjadi hamba Allah yang sejati.

sumber : klik di sini

.::Semoga Hikmah Disebaliknya::.

Tuesday, August 10, 2010

selamat datang Ramadhanku..




1 ramadhan 1431, mungkin pertama kali dalam hidupku, menyambutnya sendirian keseorangan..
mungkin hikmahnya adalah, aku dapat menghayati , menguzlahkan diri , bermuhasabah diri, menghitung dosa-dosa yang tidak terhitung sebenarnya..
sungguh kesedihan ini suatu anugerah..
kesedihan ini suatu nikmat..
Alhamdulillah..
selamat datang Ramadhanku.


Kelebihan Bulan Ramadhan


Mengenai kelebihan bulan Ramadhan, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

رمضان إلى رمضان، والجمعة إلى الجمعة، والصلاة إلى الصلاة، مكفرات لما بينهن إذا اجتنبت الكبائر - حديث صحيح. رواه مسلم، وأحمد، والبيهقي عن أبي هريرة رضي الله عنه

“Bulan Ramadhan satu ke bulan ke bulan Ramadhan berikutnya, Jum’at satu ke Jum’at berikutnya, dan satu shalat ke shalat berikutnya menjadi penebus dosa di antara keduanya, selama dijauhi segala dosa besar.” (Hadits riwayat: Imam Ahmad, Muslim dan al-Baihaqi)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda mengenai bulan Ramadhan: “

قال صلى الله عليه السلام في شهر رمضان: هو شهر الصبر، والصبر ثوابه الجنة - رواه ابن خزيمة ، والبيهقي عن سلمان الفرسي رضي الله عنه

Bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran, dan balasan kesabaran adalah syurga.” (Hadits riwayat: Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi)

Sabda baginda lagi:

أوله رحمة، وأوسطه مغفرة، وآخره عتق من النار، وأن الله تعالى ينظر في أول ليلة منه إلى المسلمين، ومن نظر إليه لم يعذبه، ويغفر لهم في آخر ليلة منه رواه ابن خزيمة، والبيهقي -

“Awalnya (bulan Ramadhan) adalah rahmat, tengahnya adalah ampunan, dan akhirnya adalah pembebasan. Sesungguhnya Allah Ta’ala memperhatikan kaum Muslimin pada malam pertama dari bulan Ramadhan tersebut, dan siapa yang mendapat perhatian Allah Ta’ala nescaya ia tidak akan disiksaNya. Selanjutnya Dia mengampuni mereka pada akhir malam dari bulan Ramadhan. (Hadits riwayat: Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi)

قال جبريل لرسول الله – عليهما السلام -: " من أدرك رمضان فلم يغفر له أبعده الله ، قل : آمين ، قال رسو الله صلى الله عليه وسلم : آمين - الحديث رواه ابن حبان، والبيهقي، والحاكم، والطبراني


Jibril عليه السلام berkata kepada Nabi صلى الله عليه وسلم: “Siapa yang menemui bulan Ramadhan sedang ia tidak diampuni Allah Ta’ala nescaya ia akan dijauhkan dari rahmat Allah. Katakanlah amin!’ Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata: ‘Amin.” (Hadits riwayat: Ibnu Hibban, Tabrani, Hakim dan Baihaqi)


Hal itu disebabkan pada bulan Ramadhan begitu mudahnya mendapatkan sebab-sebab maghfirah dibandingkan bulan-bulan lainnya. Kerana itu tiada seorangpun yang diharamkan memperoleh ampunan pada bulan itu, melainkan ia terlalu banyak berpaling dari Allah Ta’ala dan sangat berat penentangannya. Oleh kerananya ia jauhkan dan diusir dari pintu Allah. Kita memohon perlindungan dan keselamatan dari kemurkaan Allah Ta’ala dan siksaNya serta segala bencanaNya.


Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

من صام رمضان وقامه إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه - حديث صحيح رواه الشيخان، وأبو داود ، والنسائي، وابن ماجه عن أبي هريرة رضي الله عنه

“Siapa berpuasa Ramadahan dan berjaga malamnya dengan penuh iman dan ihtisab, nescaya diampuni segala dosanya yang telah lalu.” (Hadits riwayat: al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Ibn Majah dari Abu Hurairah رضي الله عنه )

Adab-adab Berpuasa


Setiap orang yang berpuasa mempunyai adab, tidaklah sempurna puasa itu tanpa adab.
Di antara adabnya yang terpenting adalah, memelihara lidah daripada berdusta, mencaci, mencampuri urusan orang lain mengekang mata dan telinga dari melihat atau mendengar sesuatu yang tidak halal, yang tiada sangkut paut dengan dirinya.

Selanjutnya hendaklah ia menahan perut dari makanan yang haram atau syubhat, terutama sekali ketika waktu berbuka puasa. Ia wajib berusaha mencari yang halal untuk berbuka puasa.
Sebahagian kaum salaf berkata: Jika anda berpuasa, perhatikanlah makanan yang anda makan untuk berbuka dan dimana anda berbuka. Hal ini merupakan anjuran kepada kita supaya berhati-hati dan mengambil berat terhadap makanan yang kita makan untuk berbuka. Meninggalkan maksiat hukumnya wajib untuk selama-lamanya bagi orang yang berpuasa dan tidak berpuasa. Hanya saja terhadap orang yang berpuasa lebih wajib memelihara diri, kerana ianya sangat dituntut dan dikuatkan.

Di antara adab puasa yang lain adalah hendaklah orang yang berpuasa itu tidak terlalu banyak tidur di waktu siang dan tidak terlalu banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia sederhana dalam kedua perkara tersebut, agar ia dapat merasakan pedihnya lapar dan dahaga, hingga dengan begitu jiwanya boleh terdidik, syahwatnya boleh berkurang dan hatinya akan bercahaya. Di situlah letak rahsia dan tujuan berpuasa yang sebenarnya. Selanjutnya hendaklah ia meninggalkan segala kemewahan dalam segala hal, memperbanyak makanan dan minuman yang memancing selera dan yang lazat-lazat, sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelum ini.


Di antara adabnya lagi, ialah hendaklah pada bulan Ramadhan tidak terlalu banyak melibatkan diri dalam urusan dunia, tetapi hendaklah ia menumpukan dirinya untuk beribadat kepada Allah sebanyak-banyaknya dan berzikir semampunya. Tidak mengusahakan sesuatu dari urusan dunia, melainkan yang perlu untuk dirinya dan orang-orang yang ada dalam tanggungannya, seperti anak-isteri dan sebagainya. Sebab bulan Ramadhan itu bila dibandingkan dengan bulan yang lainnya adalah seperti kelebihan hari Jumaat atas hari-hari lainnya. Maka adalah wajar bagi setiap Mu’min mengkhususkan hari Jumaat dan bulan Ramadhan untuk mengumpulkan bekal akhiratnya.


Diantara yang sunat bagi orang yang berpuasa ialah menyegerakan berbuka puasa. Yang paling baik adalah dimulai dengan buah kurma. Jika tidak ada maka dengan air tawar. Nabi صلى الله عليه وسلم berbuka dahulu sebelum menunaikan shalat Maghrib. Baginda bersabda:

لا تزال أمتي بخير ما عجلوا الفطر وأخروا السحور - متفق عليه

“Umatku tetap akan berada dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan makan sahur.” (Hadits riwayat: Bukhari dan Muslim)

Dari hadits [diatas] maka jelas bahawa mengakhirkan makan sahur untuk orang berpuasa merupakan amalan yang sunat.

Orang yang berpuasa hendaklah membiasakan diri makan sedikit, tidak terlalu banyak makan, sehingga kesan puasa itu dapat ia rasakan, ia akan memperoleh rahsia dan tujuan berpuasa; iaitu mendidik nafsu dan melemahkan keinginannya. Kerana bahawasanya dengan berlapar dan mengosongkan perut itu meninggalkan kesan yang baik untuk menerangi hati nurani serta menimbulkan semangat pada anggota tubuh untuk beribadah.

Manakala perut yang kenyang merupakan punca segala kekerasan dan kelalaian hati, dan menimbulkan perasaan malas untuk beribadah. Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

ما ملأ ابن آدم وعاء شرا من بطنه ، حسب ابن آدم لقيمات يقمن صلبه ، فإن كان لا محالة فثلث لطعامه ، وثلث لشرابه ، وثلث لنفسه - رواه الإمام أحمد، والترمذي، وابن ماجه، وابن سعد، والدارمي عن المقدم بن معدى كرب رضي الله عنه

Tidak ada suatu wadah yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih buruk dari perutnya. Memadailah bagi anak Adam itu beberapa suap untuk menyambung hidupnya. Jika ini tidak mencukupi, maka hendaklah sepertiga untuk makannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga lagi untuk pernafasannya.” (Hadits riwayat: Imam Ahmad, at-Tirmidzi, dan yang lainnya)

Sebahagian ahli hikmah berkata: Jika perut kenyang, laparlah seluruh anggota tubuh. Dan jika perut lapar, kenyanglah seluruh anggota tubuh.
Diantara yang sangat dianjurkan adalah mengundang orang-orang yang berpuasa untuk berbuka berpuasa, sekalipun dengan beberapa butir kurma, ataupun dengan sedikit air minum.

Nabi صلى الله عليه وسلم telah bersabda :

من فطر صائما كان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيء - رواه البيهقي، وابن خزيمة عن سلمان الفارسي رضي الله عنه

Siapa yang mengundang orang yang berpuasa untuk berbuka maka baginya pahala orang yang berpuasa itu, tidak dikurangi dari pahala itu sedikitpun.” (Hadits riwayat: al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

Dalam sepotong hadits Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
عَنْ سَلْمَانَ قَالَ : خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي آخِرِ يَوْمٍ مِنْ شَعْبَانَ فَقَالَ : " أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ أَظَلَّكُمْ شَهْرٌ عَظِيمٌ ، شَهْرٌ مُبَارَكٌ ، شَهْرٌ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ ، جَعَلَ اللَّهُ صِيَامَهُ فَرِيضَةً ، وَقِيَامَ لَيْلِهِ تَطَوُّعًا ، مَنْ تَقَرَّبَ فِيهِ بِخَصْلَةٍ مِنَ الْخَيْرِ ، كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ ، وَمَنْ أَدَّى فِيهِ فَرِيضَةً كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعِينَ فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ ، وَهُوَ شَهْرُ الصَّبْرِ ، وَالصَّبْرُ ثَوَابُهُ الْجَنَّةُ ، وَشَهْرُ الْمُوَاسَاةِ ، وَشَهْرٌ يَزْدَادُ فِيهِ رِزْقُ الْمُؤْمِنِ ، مَنْ فَطَّرَ فِيهِ صَائِمًا كَانَ مَغْفِرَةً لِذُنُوبِهِ وَعِتْقَ رَقَبَتِهِ مِنَ النَّارِ ، وَكَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْتَقِصَ مِنْ أَجْرِهِ شَيْءٌ " ، قَالُوا : لَيْسَ كُلُّنَا نَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ ، فَقَالَ : " يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى تَمْرَةٍ ، أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ ، أَوْ مَذْقَةِ لَبَنٍ ، وَهُوَ شَهْرٌ أَوَّلُهُ رَحْمَةٌ ، وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ ، وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ ، مَنْ خَفَّفَ عَنْ مَمْلُوكِهِ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ، وَأَعْتَقَهُ مِنَ النَّارِ ، وَاسْتَكْثِرُوا فِيهِ مِنْ أَرْبَعِ خِصَالٍ : خَصْلَتَيْنِ تُرْضُونَ بِهِمَا رَبَّكُمْ ، وَخَصْلَتَيْنِ لَا غِنًى بِكُمْ عَنْهُمَا ، فَأَمَّا الْخَصْلَتَانِ اللَّتَانِ تُرْضُونَ بِهِمَا رَبَّكُمْ : فَشَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، وَتَسْتَغْفِرُونَهُ ، وَأَمَّا اللَّتَانِ لَا غِنًى بِكُمْ عَنْهمَا : فَتُسْأَلُونَ اللَّهَ الْجَنَّةَ ، وَتَعُوذُونَ بِهِ مِنَ النَّارِ ، وَمَنْ أَشْبَعَ فِيهِ صَائِمًا سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ حَوْضِي شَرْبَةً لَا يَظْمَأُ حَتَّى يَدْخُلَ الْجَنَّةَ -( صَحِيحُ ابْنِ خُزَيْمَةَ ، كِتَابُ الصِّيَامِ ، جُمَّاعُ أَبْوَابِ فَضَائِلِ شَهْرِ رَمَضَانَ وَصِيَامِهِ ، بَابُ فَضَائِلِ شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ صَحَّ الْخَبَرُ )


Daripada Saidina Salman رضي الله عنه dia berkata: Telah berkhutbah Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada kami pada hari terakhir bulan Sya’ban: “Wahai para manusia, telah menyelubungi kalian bulan yang agung, bulan yang dilimpahi keberkahan yang padanya terdapat suatu malam yang lebih mulia dari seribu bulan (yakni lailatul qadr), Allah jadikan puasa padanya (pada bulan Ramadhan) suatu kewajiban, dan shalat malamnya (shalat tarawikh) sunnah. Barangsiapa yang menghampirkan diri kepada Allah (taqarrub) dengan amal yang baik (amalan sunat) maka baginya ganjaran seumpama melakukan ibadah yang fardhu. Barangsiapa mengamalkan amal yang fardhu maka (ganjarannya) seumpama mengerjakankan 70 amalan yang fardhu dibulan yang lain, Dia adalah (Ramadhan) ialah bulan kesabaran, dan balasan sabar adalah syurga. Dialah bulan simpati terhadap satu sama lain, bulan yang ditambahkan (oleh Allah) padanya rezeki orang-orang mukmin. Barangsiapa yang menjamu buka orang yang berpuasa maka baginya pengampunan atas dosa-dosanya dan pembebasan dari neraka, dan ia mendapat pahala puasa seperti orang itu tanpa dikurangkan.

Maka berkatalah sebahagian dari mereka: Tidak semua dari kami mempunyai rezeki menjamu orang berbuka puasa. Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab: Allah tetap memberikan pahala itu walaupun hanya dengan sebutir kurma atau seteguk air atau sehirup susu. Dialah bulan yang pada awalnya rahmat (kasih-sayang Allah), dan pertengahannya pengampunan, dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka. Barangsiapa yang memberi keringanan pada budaknya (atau hambanya, pembantunya) maka diampuni dosa-dosanya dan baginya pembebasan dari neraka.


Maka perbanyaklah empat hal, yang dua hal adalah keredhaan Tuhanmu dan yang dua lainnya adalah tiada kemampuan kalian mendapatkannya (Allah yang memiliki). Dua hal yang pertama adalah syahadat bahwa tiada Tuhan selain Allah ( لا اله إلا الله), dan yang kedua adalah kalian beristighfar padaNya. Dan dua hal yang bukan milik kalian adalah mintalah syurga dan berlindunglah padanya dari neraka. Barangsiapa yang memberi minum untuk berbuka orang yang berpuasa di bulan itu maka Allah akan memberinya minum dari telagaku hingga tidak akan dia haus hingga dia sampai ke syurga. (Hadits riwayat Ibn Khuzaimah didalam Shahihnya; al-Baihaqi didalam Syu’abul Iman; Ibn Abi Dunya di dalam kitab Fadhail Ramadhan; Ibn Hibban;al-Hafidz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Mathalibul ‘Aliyah, kitab puasa, bab kelebihan bulan Ramadhan ).


Hidupkanlah … hayatilah Ramadhan. Ramadhan adalah bulan yang mulia kerana didalamnya terdapat satu malam yang mana terlebih baik dari 1,000 bulan. Bulan dimana al-Quran diturunkan. Dalam bulan Ramadhanlah berlakunya peperangan Badar dan dalam bulan Ramadhan juga berlaku pembukaan kota Mekah. Bulan yang amalan sunat diberi ganjaran seumpama mengerjakan amalan fardhu, dan amalan fardhu diberi ganjaran seumpama mengerjakan 70 amalan fardhu dibulan yang lain Aku ~abu zahrah~ berpesan kepada diriku yang faqir lagi haqir ini dan saudara/i pengunjung blogku sekalian …… hidupkanlah Ramadhan … hayatilah Ramadhan …. hidupkanlah Ramadhan … hayatilah Ramadhan …….. hidupkanlah Ramadhan … hayatilah Ramadhan. Moga-moga kita beroleh rahmat dan keampunan dari Allah.Moga-moga kita beroleh TAQWA.

.::Semoga Hikmah Disebaliknya::.