Sunday, July 24, 2011
Tuesday, February 1, 2011
khabar dari mesir
Baru-baru ini..khabar yang mengejutkan dari mesir, sungguh mengejutkan..namun puncanya, aku belum jelas..aku ingin sekali untuk mendapatkan berita lebih detail..namun,buat masa sekarang isi dari mana-mana blog atau page yang aku jumpa, hanya lebih kurang sama sahaja beritanya.Jadi, ku lampirkan page ini buat 'menyemarakkan' lagi berita ini.
Lampiran dari page
Dalam situasi ini Ikhwan Muslimin berdiri teguh bersama-sama dengan rakyat Mesir dan menyokong sepenuhnya tuntutan mereka. Ikhwan mengucapkan tahniah serta setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Mesir di atas kebangkitan yang positif, aman dan diberkati. Ikhwan juga menghulurkan ucapan takziah kepada keluarga syuhadak yang terdiri dari orang awam dan anggota keselamatan yang telah terkorban di dalam peristiwa ini. Ikhwan berdoa kepada Allah agar mengampuni mereka dan amalan mereka diterima. Untuk mereka yang tercedera Ikhwan mendoakan agar mereka cepat sembuh.
Ikhwan ingin menegaskan beberapa perkara berikut:
1. Kebangkitan rakyat Mesir yang bermula pada hari Selasa 25 Januari 2011 adalah satu kebangkitan yang aman, matang dan bertamadun. Ia mesti berterusan seperti ini untuk melawan kerosakan, kezaliman dan kediktatoran sehingga tercapai apa yang diinginkan, iaitu pembaikan yang menyeluruh bermula dengan pembubaran Dewan Rakyat yang terbentuk secara penipuan terang-terangan, kemudian diikuti dengan mengadakan pilihanraya yang bebas dan bersih di bawah seliaan penguatkuasa undang-undang sepenuhnya.
2. Pemerintah Mesir mestilah menyahut kehendak rakyat dan segera melaksanakan pembaikan yang mereka mahu serta menghentikan dengan segera polisi kekerasan dan melawan kehendak rakyat yang diperakui oleh undang-undang Negara. Pemerintah hendaklah mengambil tindakan pantas, serius dan berkesan dalam merealisasikan apa yang dituntut demi kebaikan semua golongan. Pemerintah hendaklah jangan sekali-kali bertindak kasar ke atas rakyat yang menunjuk perasaan dan hendaklah membebaskan segera mereka yang ditahan dalam kebangkitan ini dan yang ditahan sebelumnya.
3. Sesungguhnya Ikhwan Muslimin adalah satu pertubuhan Islam yang merangkumi semua aspek. Dan ahli-ahlinya adalah terdiri daripada susur galur masyarakat Mesir yang sentiasa bersama-sama dengan mereka dalam suka dan duka serta turut merasai keperitan hidup mereka. Ikhwan sentiasa mengajak ahli-ahlinya dan saudara-saudaranya di Negara-negara Islam dan Negara-negara bukan Islam agar berkerjasama, tolong menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa, menyeru supaya berusaha menegakkan keadilan, memantapkan asas-asas kebenaran dan mengutamakan kepentingan umat mengatasi kepentingan perseorangan atau kepentingan sesuatu golongan. Ikhwan menyeru semua pihak dalam menghadapi keadaan yang genting ini agar bersatu hati menentang kezaliman, penyelewengan, penipuan dan kekacauan. Usaha ini mestilah dilakukan dengan cara yang selamat, bersungguh-bersungguh serta mengambil kira reality. Jangan rosakkan mana-mana institusi, harta milik awam atau individu. Kita mesti bersabar dalam mempertahankan kaedah ini sehingga tuntutan rakyat yang dijamin oleh undang-undang terlaksana.
Adalah penting untuk kita berkerjasama dengan semua pihak termasuk parti-parti politik dan berdiri di dalam satu barisan, menyamakan gerak langkah dan menyatukan suara bersama-sama rakyat jelata sehingga terlaksana kehendak mereka semuanya.
Ikhwan Muslimin
Menyesali sebelum terlambat
Siapa berani berbuat dosa? Siapa pernah berbuat dosa? Jika kita banyak berbuat dosa, sekerap dan sebanyak mana pula penyesalan kita atas dosa dan kesilapan kita? Sekuat mana taubat kita kepada Allah SWT.?
Yakinkah kita betapa setiap perbuatan pasti terakam dengan rapi di sisi Allah SWT? Sehinggakan dosa-dosa kecil pun tercatat dalam dokumentasi yang tidak akan hilang.
”Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, niscaya dia akan melihat (balasan)-nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)-nya. (Az-Zalzalah: 7-8)
Kita sering menelaah kisah Rasulullah SAW, para sahabat RA dan para soleh terdahulu yang sangat menyesali kesalahannya, dan bersegera bertaubat kepada Allah SWT ada yang hanya kerana tertidur sehingga tidak sempat untuk solat malam, atau tidak sempat solat Subuh berjamaah di masjid, dan pelbagai kisah teladan mereka.
Mereka begitu sensitif dengan dosa-dosa mereka, walaupun ianya dosa kecil. Sikap mereka segera menyesali perbuatan tersebut saat di dunia sebelum dibangkitkan di akhirat patut menjadi inspirasi buat kita semua yang lebih banyak lagi melakukan dosa setiap saat.
Namun ada kelompok yang enggan menyesali dosa-dosanya di dunia kerana keangkuhan dan kesombongannya. Lalu Allah SWT rakamkan wajah suram dan penuh penyesalan mereka saat dibangkitkan di padang masyhar kelak:
“Dan (sungguh ngeri) jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin." (as Sajadah: 12)
Beruntunglah kita kerana Allah SWT telah mengkhabarkan lebih awal kisah benar sikap sombong dan angkuh manusia saat di dunia. Ianya menjadi peringatan kepada kita bersama. Betapa kasih dan sayangnya Allah SWT kepada kita kerana memperingatkan kita akan sikap manusia yang tidak ambil kisah urusannya terhadap sang penciptanya.
Sesungguhnya tidak ada gunanya penyesalan di akhirat. Di sana (akhirat) bukanlah tempat untuk menyesali, melainkan tempat menerima balasan. Balasan atas segala amal yang telah dilakukan selama hidup di dunia. Dalam banyak ayat Alquran, Allah SWT sering menceritakan penyesalan orang-orang kafir.
''Dan mereka berkata: 'Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni neraka yang menyala'.''(Al-Mulk: 10).
Bersyukurlah kita yang masih hidup ini,bayangkan jika kita telah meninggalkan dunia ini dalam keadaan lalai bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Marilah kita yang masih di dunia ini segera memperbaharui keimanan kita kepada Allah SWT, segeralah bertaubat, berbuat kebajikan, segera menyambut seruan azan, menutup aurat, dan seluruh perkara yang diperintah Allah ke atas kita.
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat” (Huud : 3)
Semoga kita tidak termasuk orang yang menyesal di hari kemudian kelak.
Monday, January 3, 2011
Anda ingin lebih cantik dan menarik??
- Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.
- Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.
- Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.
- Pakailah "sabun Istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.
- Rawatlah rambut anda dengan "Selendang Islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki yang merbahayakan.
- Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang Tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin Ukhuwwah.
- Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian".
- Bedaklah wajah anda dengan "air Wudhu" nescaya akan bercahaya di akhirat.
Friday, December 24, 2010
Kenapa hati tidak tenang
Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Perkara ini boleh berlaku apabila seseorang suka membesarkan keaiban dirinya kemudian membandingkan kebahagiannya dengan orang lain.
Hari ini, Allah telah berikan berbagai nikmat padanya. Tetapi dia merungsingkan jerawat yang timbul di mukanya. Dia malu pada jerawat dimukanya. Sedangkan jika dia mengeluh ia tidak merubah apa-apa. Dia malu seolah-olah jerawat itu menghilangkan hidungnya, matanya, dagunya. Dia besarkan keaiban yang ada pada dirinya. Akhirnya hilang ketenangan pada diri. Kemudian dia bandingkan pula dengan muka-muka artis yang ada pada majalah. Ah.. tertekan dengan jerawat.
Hari ini, seseorang malu dengan umurnya telah lanjut, mukanya yang telah berkedut, rambutnya yang telah beruban, kakinya tak cantik, kukunya pecah. Untuk apa kita malu dan besarkan perkara itu. Kita usaha perbaiki tapi jangan rungsing dengan perkara itu. Ia hanya akan membuatkan kita hilang ketenangan.
Hari ini dia kena berhenti kerja, dia malu jika orang lain tahu. Sebab apa? Sebab sebelum ini agak sombong dengan kedudukan yang ada. Untuk apa malu, terima sahaja hakikat dan usaha semaksima mungkin. Berhenti kerja tidak menyebabkan kita mati. Masih banyak lagi usaha yang boleh dibuat.
Hari ini kereta kena tarik, rumah nak kena lelong. Kenapa malu? Itukan harta kita. Kita nak beli atau kita dah tak mampu nak bayar itukan hal kita. Jangan rasa rendah diri. Allah beri kita rumah itu awal untuk rasa selesa sekejap. Hari ini dia tarik untuk kita lebih hargai nikmat itu. Nanti kalau beri lagi Alhamdulillah, kita akan lebih bersyukur. Jangan sebab rumah nak kena lelong hilang ketenangan diri.
Hari ini kita mungkin berpisah dengan isteri, dengan suami, untuk apa malu? Itukan telah berlalu. Bina semula dan jangan rasa rendah diri terhadapa apa yang berlaku.
Kenapa kita selalu rasa rendah diri pada unsur keduniaan terhadap manusia? Kerana kita membandingkan kebahagiaan kita dengan orang lain.
Jangan sekali-kali kita bandingkan kebahagiaan kita dengan orang lain. Orang lain ada rumah besar, kita bandingkan rumah kita yang kecil. Walaupun dia ada rumah yang besar, dia juga ada masalahnya sendiri. Mungkin rumah sahaja besar, tetapi isterinya sering merungsingkannya, mungkin anaknya yang selalu tak balik, mungkin masalah kesihatannya yang teruk.
Semua orang ada masalah, kesamaannya ialah masalah itu menghimpit hati, bezanya ialah bentuknya. Jadi jangan kita rasa rendah diri pada keduniaan terhadap orang lain. Orang lain juga punyai masalahnya sendiri yang kita tidak tahu.
Satu ketika, seorang sahabat telah dileteri oleh isterinya. Dia sangat sedih dan ingin mengadukan perkara ini kepada Saidina Umar r.a. Dia rasakan Umar selaku pemimpin negara sudah tentu dapat menyelesaikan masaalahnya.
Kenapa sahabat ini sedih, kerana dia cuba membayangkan dan membandingkan keadaannya dengan Saidina Umar.
Ketika sampai di rumah Saidina Umar, dia mendengar dari luar rumah, Saidina Umar sedang dileteri oleh isterinya.
Cepat-cepat dia berpaling dan meninggalkan rumah Saidina Umar. Ketika itu Saidina Umar nampak dan menegurnya dan Umar menasihatinya mengenai rumah tangga.
Cuba lihat, ketika kita membanding kebahagaian kita dengan orang lain, maka kita akan membesarkan keaiban diri kita, kita akan menjadi malu, kita akan tertekan, kita rasakan orang lain cukup bahagia.
Sedangkan orang lain juga punyai masalahnya sendiri yang mungkin lebih menekan hidupnya. Kalau bukan sama seperti kita, pasti dalam ruangan yang lain.
Oleh itu, hati tidak tenang apabila kita membesarkan aib diri kita dan bandingkan dengan orang lain.
Kita perlu perbaiki keadaan diri kita tetapi jangan sampai ia membuatkan hati kita hilang tenang.
Ketenangan inilah kebahagiaan. Saya, anda dan semua orang mahukan ketenangan ini, tetapi tidak semua orang berjaya mendapatkannya.
Kerana apa? Kerana sebab yang pertama, selalu mengukur kebahagiaan diri dengan orang lain.
Jadi, terimalah hakikat diri kita sebaiknya, baiki keadaan, terima kekurangan diri, jangan berpura-pura pada orang lain, jangan bandingkan kebahagaian dengan orang lain dan nanti anda akan keluar dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan.
Tarik nafas panjang-panjang hari ini, doa agar Allah beri kita kekuatan untuk menerima hakikat diri dan beri jalan keluar pada permasalaan kita. Mudah-mudahan Allah yang empunya ketenangan, akan menitiskan ketenangan ke dalam hati-hati kita.
Thursday, December 23, 2010
inilah makna bahagia
Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.
Bahagia itu relatif?
Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.
Apakah erti bahagia?
Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu "moving target" yang tidak spesifik ertinya.
Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.
Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?
Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.
Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?
Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi "rules of life" (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
"Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya." (Surah Al-Mulk)
Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar.
Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.
John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al-Malik Farouk (Mesir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.
Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang...
Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang "hilang" di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.
Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!
Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.
Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.
Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.
Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.
Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor "kesihatan" hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.
Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." (Surah Al-Ra'du 28)
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
"Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati." (Hadis riwayat Bukhari Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati."
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara "kesihatannya" agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara "auto pilot".
Kaedah Mencari Bahagia Menurut Al-Quran dan Sunnah
1. Beriman dan beramal salih.
"Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan." (Surah An-Nahl: 97)
Ibnu 'Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban).
Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana'ah (merasa cukup).
Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu 'Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.
2. Banyak mengingat Allah.
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu." (Surah Ar-Ra'd: 28)
3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
"Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya." (Surah Ath-Thalaq: 3)
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
"Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar." (Surah An-Nisa: 114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.
Rasulullah SAW bersabda: "Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata:
"Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu," akan tetapi katakanlah: "Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan," karena sesungguhnya kalimat 'seandainya' itu membuka amalan syaitan." (Hadis Riwayat Muslim)
6. Melihat "kelebihan" bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
"Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu." (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih.
Malah ada di antara hukama berkata, "sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!" Firman Allah:
"Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih." (Surah Al-Insan: 9)
Zikrullah Yang Membawa Bahagia
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. Tetapi kenapa ada orang yang berzikir tetapi hati tidak ataupun belum tenang? (Untuk mendapat jawapannya, sila rujuk artikel Mencari Ketenangan Hati)
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.
Ingatlah, untuk menjaga kebersihan hati, (selain berzikir) kita perlu menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Jadi berhati-hatilah menjaga hati kerana ia adalah punca ketenangan dan kebahagiaan diri!
Kita harus melatih hati kita supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak doa agar Allah SWT mengurniakan kita hati yang bersih dan selalu dekat dengan-Nya. Itulah beberapa hal yang mungkin dapat kita jadikan landasan untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga sebagai bekal untuk menghadapi kehidupan akhirat nanti.
Sebenarnya kebahagiaan hidup yang hakiki dan ketenangan hanya didapatkan dalam agama Islam yang mulia ini. Sehingga yang dapat hidup bahagia dalam erti yang sebenarnya hanyalah orang-orang yang berpegang teguh dengan agama.
artikel iluvislam.com